
PETALING JAYA – Bertuahnya badan. Itu luahan yang terungkap dari bibir rata-rata netizen saat melihat anak pasangan selebriti popular, Fazura dan Fattah Amin iaitu Nur Fatima Aisya menerima seutas rantai berlian daripada Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman hari ini.
Manisnya, rantai berserta loket berlian yang direka khas dengan abjad F bersempena nama Fatima.
Hadiah tersebut juga kurniaan Tengku Permaisuri Selangor bersempena ulang tahun kelahiran Fatima yang pertama.
Menerusi InstaStory yang dimuat naik Fazura atau nama sebenarnya, Nur Fazura Sharifuddin, 38, dia dilihat menerima sebuah beg kertas berwarna merah yang tertera nama Permaisuri Selangor.
Selain rantai, Fatima turut menerima sekeping kad yang tertulis ucapan istimewa daripada Tengku Permaisuri Norashikin.
“Kepada Fatima, awak layak menerima semua cinta dan kebahagiaan di dunia. Selamat hari jadi,” tulis Permaisuri Selangor dalam kad tersebut.
Dalam pada itu, sebagai seorang ibu, Fazura menzahirkan rasa teruja dengan pemberian istimewa yang diberikan Permaisuri Selangor buat puteri kesayangannya itu.
SELAIN seutas rantai, Fatima turut menerima sekeping kad yang tertulis ucapan tulisan tangan daripada Permaisuri Selangor.
“Hadiah istimewa untuk Fatima daripada Tengku Permaisuri Norashikin.
“Masya-Allah, sukanya. Rantai rekaan khas untuk Fatima. Junjung kasih kepada Permaisuri yang penyayang dan pemurah,” kata pelakon filem Pisau Cukur itu.
Terharu dengan pemberian tersebut, dia turut menitipkan doa buat Permaisuri Selangor agar sentiasa dilimpahi rezeki dan kegembiraan.
“Kami sayangkan Tuanku. Semoga Tuanku sentiasa diberkati dan dilimpahi dengan kegembiraan, rezeki dan kasih sayang setiap hari, amin,” ujarnya lagi.
TANGKAP layar InstaStory Fazura yang memaparkan rantai berlian (tengah) yang diterima Fatima daripada Tengku Permaisuri Norashikin hari ini.
Sebelum ini, Fazura juga pernah menerima hadiah daripada Permaisuri Selangor iaitu kepingan syiling emas dan beberapa naskhah buku agama.
Fazura dapat hadiah syiling emas daripada Permaisuri Selangor
Terdahulu Aktres popular Fazura menzahirkan rasa teruja apabila menerima hadiah berupa beberapa keping syiling emas daripada Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman.
Berita gembira tersebut dikongsi pemilik nama penuh Nur Fazura Sharifuddin, 37, dalam InstaStory miliknya hari ini.
Menerusi perkongsian tersebut, pelakon drama Hero Seorang Cinderella itu menunjukkan dia menerima hadiah daripada Tengku Permaisuri Norashikin iaitu kepingan syiling emas dan beberapa naskhah buku keagamaan.
Dalam kad yang dikirim, tertulis ucapan terima kasih daripada Permaisuri Selangor buat Fazura yang sentiasa menjadi individu yang baik kepada baginda.
“Kepada Fazura, terima kasih kerana selalu menjadi insan yang baik untuk saya,” tulis Permaisuri Norashikin.
TANDA mata berharga daripada Permaisuri Selangor yang dikongsikan Fazura dalam Instagramnya.
Mengagumi keperibadian baginda , Fazura menitipkan ucapan terima kasih buat atas beberapa hadiah yang dikirimkan kepadanya.
“Sangat merendah diri dan jelita. Ini antara sebab saya mengagumi Tengku Permaisuri Norashikin.
“Menjunjung kasih Tuanku. Saya akan simpan kepingan syiling emas ini untuk Fatima.
“Masya-Allah dapat buku-buku yang sangat bermanfaat. Insya-Allah. Junjung kasih Tuanku buat kurniaan dan ingatan ini,” tulisnya.
Fazura bagaimanapun tidak mendedahkan alasan kiriman Permaisuri Selangor buat dirinya.
Terdahulu, pelakon Remy Ishak dan isteri juga pernah mencuri tumpuan ramai apabila menerima bungkusan hadiah daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebagai hadiah perkahwinannya pada 21 Ogos lalu
Untuk rekod, Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga dalam sebuah majlis tertutup pada 27 November 2017.
Hasil perkahwinan, pasangan popular berkenaan dikurniakan cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya pada 2 Oktober 2020
Leave a Reply