Tempatan

“Dia tak boleh balik, kepala air terlalu kuat” Mangsa Sempat Hubungi Isteri Sebelum Tragedi

Beberapa hari lepas, kita dikejutkan dengan bencana kepala air yang berlaku di Gunung Jerai.

Tragedi itu telah menjadi satu detik luka untuk semua rakyat Kedah di mana ia menyebabkan limpahan air yang besar sehingga menghakis isi bukit sekaligus mewujudkan banjir kilat di kawasan penduduk sekitar bukit tersebut.

Kejadian yang terjadi di Titi Hayun itu telah meragut nyawa beberapa penduduk setempat dan masih ada mangsa yag belum dapat dikesan.

Terbaharu, pasukan penyelamat telah menemukan sekujur tubuh kaku iaitu Allahyarham Mohammad Faizal Mohd Zohir selepas beliau dilaporkan hilang akibat bencana itu.

Jasadnya telah ditemui oleh unit pengesan anjing pasukan penyelamat kira-kira 5 kilometer dari lokasi asal akibat dibawa arus air yang deras.

Tidak Sempat Melarikan Diri

 

Menerusi muat naik di laman Facebook, isteri kepada Allahyarham memberitahu suaminya itu berada di kawasan tersebut untuk melakukan pekerjaan membina pondok berhampiran dusun.

Namun dia sempat membuat panggilan terakhir dengan suaminya itu dan suaminya juga berpesan dia tidak dapat pulang akibat kejadian kepala air itu sangat kuat.

“Ya Allah ya tuhanku, lindungilah suamiku dimana pon dia berada aku dan anak2 masih memerlukan dia ya Allah, mohon semua doakan suami saya MOHAMAD FAIZAL BIN MOHD ZOHIR,

“Masih belum ada khabar berita lagi, dia kerja buat pondok di dusun dekat titi hayun, last contact pukul 4petang semalam dia tak boleh balik sebab kepala air kuat sangat, mintak tolong share yg mana ada jumpa dia boleh hubungi saya,”

Allahyarham telah meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak kecil.

Proses Mencari Masih Dilakukan Pihak Berkuasa

Menerusi laporan Astro Awani, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Abdul Wahab Mat Yassin, mengesahkan mayat mangsa ditemui selepas hilang susulan kejadian berkenaan yang berlaku sekitar 4 petang pada Rabu.

“Terbaru (yang sudah) dapat dikesan (pihak bomba) ialah mangsa hilang (yang) keempat (iaitu) Faizal Zohir, berumur 28 tahun, Melayu, (yang) ditemui 3.10 petang, pada hari ini. Lokasi ditemui (adalah di) KEDA Sungai Udang,

“Mangsa yang baru ini ditemui Unit K9, mangsa ditemui di kawasan yang dalam keadaan berlumpur, selain batu licin, proses menyelamat mangsa yang cedera sebelum itu dilakukan di bawah timbunan kayu yang memerlukan pasukan penyelamat memotong guna chainsaw selain dalam keadaan gelap, dan perlukan pencahayaan, tetapi akhirnya mereka dapat juga selamatkan mangsa tersebut.

Tambahnya, proses pengesanan dan pencarian dua lagi mangsa yang masih hilang akan dilaksanakan dengan memperluas kawasan pencarian iaitu dengan tambahan dua lagi unit anjing pengesan (K9) selain menggerakkan unit dron bagi memantau pencarian dari udara.

Turut dinyatakan bahawa proses mencari dan menyelamat (SAR) oleh pihak JBPM diperkuatkan dengan kekuatan 71 pegawai dan anggota yang dibahagikan kepada dua sektor pencarian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *