Tempatan

Masih dirawat, ini keadaan terkini Muhyiddin sampai Razlan berdoa Muhyiddin terbuka hati serah kuasa kepada Umno

erdana Menteri Muhyiddin Yassin masih dirawat di hospital, kata pejabatnya yang mengeluarkan kenyataan mengenai kedudukan terkini presiden Bersatu itu.

Pun begitu, katanya, Muhyiddin dalam keadaan stabil dan hasil pemeriksaan kesihatan yang rapi mendapati tiada bukti menunjukkan masalah tumor lamanya berulang.

“Atas nasihat pasukan doktor, beliau kini berada di hospital untuk terus mendapatkan rawatan antibiotik intravena.

“Keadaan beliau adalah stabil dan bertambah baik serta dibenarkan bertugas semasa dalam rawatan,” kata kenyataan itu.

Anggota Parlimen Pagoh itu dimasukkan ke hospital pada 30 Jun lalu setelah mengalami cirit-birit sejak sehari sebelumnya.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, Muhyiddin dijangka dibenarkan keluar dari hospital dalam tempoh beberapa hari lagi.

“Perdana menteri mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai yang mendoakan kesihatan beliau,” kata kenyataan tersebut.

 

Razlan berdoa Muhyiddin terbuka hati serah kuasa kepada Umno

Sambil berharap kesihatan Muhyiddin Yassin dipulihkan, seorang ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno juga berdoa agar presiden Bersatu itu terbuka hatinya untuk menyerahkan kuasa perdana menteri kepada Umno.

Dengan langkah begitu kata Razlan Rafii ahli parlimen Pagoh terbabit akan dikenang ramai sebagai seorang negarawan ulung oleh rakyat pada suatu hari nanti.

“[…] saya dengar beliau tidak sihat, justeru kita doakan kesihatannya (dan) semoga Allah SWT membuka hati beliau untuk menyerahkan kuasa kepada Umno.

“Bincanglah elok-elok demi kelangsungan rakyat dan negara, jadilah seorang negarawan yang akan dikenang oleh rakyat suatu hari nanti,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Perhatian ramai kini tertumpu kepada kerajaan ketika tenpoh 14 hari yang diberikan Umno kepada Perikatan Nasional berakhir hari ini. Melalui kata dua tersebut – yang dikeluarkan Umno pada 21 Jun lalu – mereka mahu PN memulakan langkah membuka semula parlimen.

Kegagalan berbuat demikian, kata presidennya Ahmad Zahid Hamidi, akan mendorong Umno memanggil mesyuarat MT bagi memutuskan tindakan selanjutnya.

Walaupun tidak menjelaskan apa tindakan tersebut, ramai berpendapat Umno akan mengarahkan semua ahli parlimennya yang ada dalam kabinet Muhyiddin meletak jawatan.

Pada masa sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan memaklumkan kerajaan akan mengumumkan tarikh pembukaan parlimen selepas mesyuarat mingguan kabinet pada Rabu ini.

Pembukaan semula parlimen sudah disuarakan oleh Yang di-Pertuan Agong sekurang-kurangnya tiga kali sebelum ini.

Rakyat terbiar tanpa dibela

Kenyataan Razlan itu dikeluarkan ketika Muhyiddin masih mendapatkan rawatan di hospital selepas dimasukkan ke wad pada 30 Jun lalu kerana masalah cirit-birit.

Kata Razlan sebelum ini Muhyiddin menunjukkan sikap dingin terhadap titah Agong justeru ia menyebabkan pertikaian politik semasa menjadi semakin teruk.

“Semasa rakyat susah, berusaha keluar dari masalah ini, kerajaan pula terus bermain politik

“Agong terpaksa memanggil speaker dan timbalan speaker (Dewan Rakyat dan Dewan Negara) untuk menyatakan hasrat istana dan niat baik Majlis Raja-raja (membuka parlimen).

“Sehingga ke tahap ini pun kerajaan Muhyddin masih berdegil tidak mahu mematuhi titah istana,” dakwanya.

Menurut Razlan lagi kerajaan sepatutnya memberikan fokus kepada titah istana dan berlapang dada untuk bertindak “demi kepentingan rakyat” berbanding apa yang mereka lakukan sekarang.

Katanya tujuan istana mahukan parlimen bersidang semula adalah untuk membolehkan wujudnya mekanisma semak dan imbang kepada kerajaan selain mencari formula terbaik untuk keluar dari kemelut Covid-19, ekonomi, dan sosial.

Menurut Razlan lagi kerajaan hari ini sudah tidak boleh diharapkan lagi apabila dianggapnya sebagai zalim kerana membiarkan rakyat menderita tanpa pembelaan.

Apa kata anda? Kongsikan bersama kami

sumber: mkini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *