RM60K Lesap, Anak beranak Terkena Jerat Skim Cepat Kaya. Si Bapa Terpaksa Jual Ketupat Kumpul Semula Duit Simpanan Haji.

Skim cepat kaya merupakan satu skim di mana sejumlah wang akan didepositkan atau dilaburkan kepada penganjur skim cepat kaya dangan janji dan syarat bahawa wang deposit tersebut akan dipulangkan kembali dengan faedah atau keuntungan yang dijanjikan bagi wang yang didepositkan selalunya lebih tinggi daripada apa yang ditawarkan oleh institusi-institusi kewangan berlesen.

WANG ringgit, jika sudah hilang atau dibelanjakan bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicari ganti.

Inikan pula jika jumlahnya mencecah sehingga berpuluh ribu ringgit.

Itulah yang terjadi kepada Jamaluddin Abdullah, 60, apabila dia mendakwa ditipu sebanyak RM40,000 oleh rakannya sendiri dalam skim pelaburan.

Anak bongsu warga emas itu, Siti Sarah Asiah, 28, memuat naik status di Twitter yang mana bapanya terpaksa menjual ketupat palas untuk mengumpul semula wang yang telah lesap itu.

Lebih mesra disapa Sarah, dia memberitahu sebelum ini mereka sekeluarga pernah menyertai skim pelaburan yang dikendalikan kenalan rapat bapanya dan tidak mengalami sebarang isu untuk mendapatkan hasil pulangannya.

Tetapi masalah mula timbul apabila mereka melaburkan wang pada Disember 2020 dan tidak mendapat hasil yang sepatutnya diterima pada awal tahun 2021.

“Pada Disember tahun lepas, ayah melabur RM40,000 kepada kawannya dan sepatutnya dia mendapat semua hasil pelaburan itu dalam masa yang singkat.

“Tetapi kawan ayah bagi macam-macam alasan masa tu. Bank tutuplah, tak boleh nak keluarkan semula duitlah, ada sahaja alasan yang dia berikan, ” katanya sambil menambah adik beradik yang lain turut berdepan masalah sama selepas melabur wang sebanyak RM20,000 kepada lelaki tersebut.

Menurut Sarah, pelbagai usaha telah dilakukan untuk mendapatkan semula wang yang telah dilaburkan.

Namun lelaki yang menetap dia Subang Jaya, Selangor itu telah menghilangkan diri dan masih tidak dapat dikesan.

“Pada hari Rabu, ayah ada bertanya pada orang tu melalui mesej, bila boleh dia dapatkan semula duit. Tapi lelaki tu kata bank tutup dan dia akan membuat pengeluaran wang pada Khamis. Ayah pun balas la, Khamis cuti umum (Nuzul Quran) dan tak ada bank beroperasi.

“Bila balas macam tu, terus lelaki tu block ayah dan menghilangkan diri. Kami ada cuba menghubungi ahli keluarganya tapi tak dapat dikesan. Kemudian kami cuba pula bertanya pada kawan-kawan yang kenal lelaki itu, rupa-rupanya ada antara rakannya telah ditipu sama seperti ayah,” katanya yang menetap di Wangsa Maju.

Susulan kejadian itu, Jamaluddin mengambil keputusan untuk membuat laporan polis terhadap individu tersebut. Sarah juga menjelaskan bahawa ada antara mangsa kepada lelaki itu telah mendapatkan wang mereka semula tetapi bukanlah bayaran penuh.

Bagi memastikan hasratnya untuk menunaikan haji tercapai, bapa kepada enam anak itu mula menjual ketupat palas dan rendang daging untuk mengumpul semula wang yang telah lesap.

“Ayah saya hanya bekerja sebagai pemandu van sekolah sahaja dan duit yang dilaburkan itu merupakan hasil simpanannya yang dikumpul untuk menunaikan ibadah haji pada suatu hari nanti. Waktu ayah dapat tahu ditipu tu, dia hanya mendiamkan diri sahaja. Memang kesian tengok ayah kena macam tu.

“Walaupun nasib ayah tidak berapa baik, dia masih lagi nak menolong orang dengan menjual ketupat palas yang diambil dari kawannya. Untung hasil jualan dikumpul untuk menggantikan duitnya yang hilang itu,” katanya.

Sarah turut memberitahu bahawa bapanya gembira kerana ramai memberi respons mahu membeli ketupat palas, malah turut mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada mereka.

Setakat ini, Sarah menyediakan khidmat penghantaran di kawasan Wangsa Maju serta sekitar Kuala Lumpur.

Sumber: mstar

Klik sini Untuk Claim Free Shipping Shopee https://shp.ee/d5pvxcf

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*