Hiburan

Salah Ke Saya Jual Sambal Untuk Menampung Perbelanjaan Keluarga? – Awie

Siapa tidak kenal dengan vokalis kumpulan rock lagenda Wings, Datuk Awie yang terkenal dengan suara lunak dan lemak merdunya.

Bagi yang mengikut rapat perkembangan Awie pastinya menyedari penyanyi itu masih terus ‘mencari makan’ dengan membuat persembahan nyanyian.

Jarang sekali terdengar Awie terlibat dalam bidang lain termasuk perniagaan.

Terbaru, Datuk Awie tidak mengambil pusing cakap-cakap orang selepas mengambil keputusan untuk menghasilkan produk sambal keluarannya, R-WE.

Awie ketika ditemui Gempak berkata, walaupun bergelar selebriti namun dia juga seperti orang lain yang perlu mencari rezeki untuk menambah pendapatan.

” Saya pun manusia biasa juga. Bayangkan masa PKP kami penyanyi mana ada job. Jadi salah ke jika saya mencari sumber pendapatan lain untuk menampung perbelanjaan keluarga?

” Saya tidak pernah ambil pusing cakap-cakap orang sebab saya bukan buat salah pun. Saya cari duit secara halal.

” Secara tidak langsung saya juga ingin membantu orang lain mencari sumber pendapatan tambahan dengan menjadi agen dan stokis R-WE,” katanya.

Awie berkata, produk makanan R-WE terdiri daripada empat variasi sambal iaitu Sambal Merah, Sambal Paru, Sambal Ikan Sepat Masin dan Sambal Ikan Kembung.

Selain sambal, R-WE turut mengeluarkan Kambing dan Ayam Perap.

Ketika ditanya mengenai idea untuk memulakan perniagaan sambal, Awie berkata segalanya bermula selepas bercerai buat kali kedua.

” Semuanya bermula selepas saya bercerai dan saya mula berdikari. Saya masak sendiri untuk anak-anak dan saya mula belajar memasak kerana anak-anak saya perlu makan.

” Saya rasa dalam banyak-banyak masakan, samballah yang paling saya pakar sebab saya sendiri pun memang hantu sambal.

” Jadi dari situlah semuanya bermula sehingga terhasilnya produk R-WE hari ini,” katanya.

Sekilas info pasal Awie

Dato’ Ahmad Azhar bin Othman, atau lebih dikenali sebagai Awie lahir pada 24 November 1968.

Dilahirkan di Datuk Keramat, Kuala Lumpur, kerjaya muzik Awie sebagai artis lahir pada tahun 1987 bersama kumpulan Wings dengan muncul album pertama berjudul Belenggu Irama.

Ketika popular bersama Wings, beliau memperkembangkan bakatnya yang semula jadi dalam bidang lakonan menerusi filem pertamanya Pemburu Bayang pada tahun 1993.

Awie kemudiannya mengambil langkah untuk meninggalkan Wings dan memulakan kerjayanya sebagai penyanyi solo bermula pada 1993 apabila beliau melancarkan album solo eponim pertamanya pada 1994 dan telah terjual sebanyak 220,000 unit.

Ia menjadikan album tersebut sebagai pemegang rekod penjualan album tertinggi bagi artis solo lelaki di Malaysia sehingga kini.

Selain itu juga, Awie pernah menyertai kumpulan Search pada tahun 1998 dan muncul satu album bertajuk Bikin Wilayah setelah Amy meninggalkan kumpulannya itu dan seterusnya menubuhkan kumpulannya tersendiri yang diberi nama Dragon Malaya pada tahun 2000.

Pada 2001, beliau kembali bersama kumpulan Wings yang kekal sehingga kini.

Perkahwinan pertama Awie adalah dengan Arni Nazira Anuar, juga seorang penyanyi pada 10 Disember 1998 dan mereka dikurniakan dua orang cahaya mata perempuan. Pada 16 Oktober 2006, Awie dan Arni sah bercrai.

Awie kemudian berkhwin dengan Rozana Misbun dan telah dikurniakan tiga orang lagi cahaya mata. Jdoh mereka juga tidak kekal apabila bercrai pada 2014.

Pada 7 Oktober 2016, Awie sekali lagi mendirikan rumah tangga bersama Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin dan dikurniakan seorang anak.

Sumber:gempak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *