Alif Satar terharu dapat panggilan video Dr Zul

Kuala Lumpur: Penyanyi, Alif Satar meluahkan rasa syukur dan terharu apabila mendapat panggilan video daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, hari ini.

Alif yang kini dirawat di Hospital Melaka selepas terkena jangkitan Covid-19 pada Ahad lalu berkata, panggilan itu memberikan semangat baru untuknya.

“Alhamdulillah, saya terima semangat baru hari ini. Terima kasih yang tak terhingga kepada Dr Zulkifli sudi bertanya khabar melalui ‘facetime’.

“Dia juga sempat kirimkan surat dan buku untuk saya baca sepanjang kuarantin. Sewaktu panggilan video tadi, saya sangat terharu apabila Dr Zul turut mendoakan kesihatan bukan saja untuk saya, tapi buat semua yang terkena dengan Covid-19.

“Alhamdulillah terima kasih banyak-banyak semoga Allah SWT merahmati dan membalas jasa baik Dr Zul sekeluarga. Insya Allah,” katanya.

Sementara itu, surat hasil tulisan tangan Zulkifli antara lain mendoakan Alif segera bebas daripada wabak itu.

“Ke hadapan saudaraku Alif Satar, doa dan harapan saya agar saudara diberi shifa’ dan kesembuhan segera. Begitu juga kepada rakan lain yang diuji dengan Covid-19 ini.

“Sejujurnya, saya amat terharu mendengar khabar berita ujian ini. Hanya kepada Allah saya harapkan kesembuhan ini.

“Bersama warkah ini saya iringi buku Hari Hari Tabiah Dalam Hidupku dan Inilah Doaku. Semoga ia memberi semangat dalam mengharungi saat yang mencabar ini. Saya sayang kepada saudara,” tulisnya.

Gambar yang dimuat naik di Instagtam ketika panggilan video itu mendapat lebih 80,000 tanda suka.

Be the first to comment on "Alif Satar terharu dapat panggilan video Dr Zul"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*