Belanjawan 2021: Tun M Cakap Nak Teliti Dulu Takut Ada Beli Beg Tangan

LANGKAWI : Ahli-ahli Parlimen daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) perlu diberi peluang untuk meneliti terlebih dahulu kandungan Belanjawan 2021 sebelum ia dibentangkan di Parlimen 6 November ini.

Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan kelima-lima anggota Parlimen daripada parti berkenaan tidak mempunyai masalah dan bersedia untuk menyokong belanjawan berkenaan jika kandungannya memuaskan serta mampu mensejahterakan rakyat.

Tambah beliau, tindakan berkenaan merupakan salah satu tanggungjawab setiap ahli Parlimen untuk meneliti sesuatu dokumen sebelum membuat keputusan menyokongnya di Dewan Rakyat.

“Kita nak bersetuju (dengan Belanjawan 2021), tapi kita tak tau apa dia (kandungannya). Macam mana (Ahli Parlimen Pejuang) nak setuju? Takkan nak sain blank cheque.

“Kita nak tau apa dia tulis pasal dokumen berkenaan dengan bajet ni, tebal dalam dua bahasa – Inggeris dan Melayu… kita nak kena baca.

Tak sokong jika beli beg tangan

“Kalau kita dapati di situ ada peruntukan untuk beli beg tangan, kita tak jadilah (sokong) tak boleh nak lulus, takkan semua nak lulus, kita kena baca dulu,” kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir berkata demikian ketika ditemui media selepas Sesi Perjumpaan bersama wakil Parti Pejuang Tanah Air Parlimen Langkawi di sebuah hotel di Padang Matsirat, di sini pada Sabtu.

Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan pihaknya bersama kepimpinan Pejuang yang lain ketika ini belum dijemput untuk bertemu dengan mana-mana pihak dalam melakukan perbincangan terperinci mengenai Belanjawan 2021.

Pada Sabtu, perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi satu perutusan khas berharap semua Ahli Parlimen dapat mengetepikan perbezaan politik untuk memastikan Belanjawan 2021 diluluskan demi kepentingan rakyat dan negara.

Jelasnya, dalam belanjawan berkenaan kerajaan akan menyediakan pelbagai peruntukan kepada agensi kerajaan, bantuan kepada rakyat jelata dan insentif kepada sektor korporat, industri dan perniagaan dalam menghadapi COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Susulan itu, menurut beliau, satu bentuk persefahaman boleh dirangka dalam kalangan Ahli-Ahli Parlimen untuk membolehkan Belanjawan 2021 diluluskan dengan sokongan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang

Laporan: Najib dilantik ketua kelab MP BN menjelang belanjawan

Najib Razak dilaporkan dipilih sebagai pengerusi pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC).

Laporan The Malaysian Insight memetik sumber sebagai berkata, bekas perdana menteri itu diberikan peranan utama bermula sidang Dewan Rakyat yang bermula esok, terutama dalam perbahasan Belanjawan 2021.

“Najib dilantik baru-baru ini menjelang sidang Parlimen supaya beliau boleh mengendalikan wakil rakyat BN di dewan,” kata sumber seperti dipetik, yang turut menyatakan Najib akan berperanan menyelesaikan sebarang pertikaian antara Umno dan Bersatu.

“Beliau berpengalaman, boleh pengaruhi ahli Parlimen,” katanya lagi.

Belanjawan 2021 dijadualkan dibentangkan pada 6 November dengan pengundian pada 17 November.

Pembentangan belanjawan itu menjadi perhatian apabila sebelum ini dikatakan berisiko menjadi medan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin susulan kemelut politik yang berlaku.

Pada Jumaat lalu, Majlis Presiden PH menggesa Muhyiddin melakukan perbincangan segera dengan pihaknya berhubung belanjawan sebelum ia dibentangkan di Dewan Rakyat.

Ia susulan nasihat Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah agar semua ahli Parlimen menyokongnya.

Umno pula dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) berkata akan membawa beberapa perkara – antaranya lanjutan moratorium pinjaman – kepada kerajaan dan memastikan belanjawan “yang bermanfaat untuk rakyat” akan diluluskan.

Untuk rekod, BN memiliki 43 ahli Parlimen – kebanyakannya daripada Umno – dengan 23 daripadanya tidak memegang jawatan dalam kerajaan

Be the first to comment on "Belanjawan 2021: Tun M Cakap Nak Teliti Dulu Takut Ada Beli Beg Tangan"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*