
Persekutuan Industri Hiburan Malaysia menyatakan rasa terkejut dengan kenyataan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkaitan penutupan kelab malam dan pub baru-baru ini.
Presidennya Liew Poon Siak menganggap kenyataan itu sebagai satu tamparan memandang bar dan pub sedang bertahan selepas tidak dibenarkan beroperasi sejak Mac susulan Covid-19.
“Jika penjarakan fizikal menjadi puncanya, perhimpunan awam, keagamaan dan politik juga patut diharamkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dia memberi alasan susah hendak mengamalkan penjarakan sosial jika perkara itu dibenarkan.
Sementara itu, menegaskan mereka tidak menentang perintah kawalan pergerakan (PKP), Liew berharap kerajaan akan membenarkan mereka beroperasi semula secara bersyarat.
“Oleh itu, persekutuan mendesak perdana menteri menarik balik kenyataannya dan menunjukkan keprihatinannya terhadap keadaan kami,” katanya.
Muhyiddin dalam Konvensyen Perikatan Nasional (PN) di ibu negara kelmarin berkata sambil tersenyum:
“Ekonomi negara kita sedang pun menunjukkan tanda-tanda pemulihan setelah hampir semua sektor ekonomi dibuka semula.
Yang tak buka hanyalah kelab-kelab malam, pub, itu menurut saya kalau tak buka selama-lamanya pun tak apa (gurau). Kerana (di tempat itu) susah nak mengamalkan penjarakan sosial,” katanya berjenaka dan disambut gelak ketawa hadirin.
Awal hari ini, Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata polis mengeluarkan kompaun kepada 673 pesalah PKPP semalam, jumlah tertinggi selepas pelaksanaan PKP pada Mac lalu.
Katanya, kesalahan berkaitan kelab malam adalah yang terbanyak (600 orang), diikuti kesalahan penjarakan sosial (127) dan kegagalan patuh SOP peruncitan (14 kes).
“Ini menunjukkan bahawa keingkaran bertambah, mungkin rakyat telah merasakan bahawa PKPP sudah tidak ada prosedur operasi standard yang perlu dipatuhi sebab itu ramai yang dikenakan kompaun,” katanya.
Menurut Muhyiddin, kelab malam dan pub terpaksa terus ditutup kerana kesukaran pelaksanaan SOP seperti penjarakan sosial. – 1 September, 2020.
Leave a Reply